Thursday, January 21, 2010

Alamat Kiamat Yang Kedua Zahir Dajal

Dajal itu ialah terlebih besar fitnah di dalam dunia ini, kerana mendakwa ia akan tuhan. Maka adalah Dajal itu seorang yang sangat muda lagi tiada berjanggut, ada baginya misai, dan buta matanya sebelah. Kata sesetengah ulama buta sebelah kiri. Kata sesetengah tiada tertentu mata yang kiri yang buta itu, kerana berganti-ganti yang buta itu, pada satu waktu buta sebelah kiri, dan pada satu waktu buta sebelah kanan. Maka matanya itu sangat timbul bijinya seperti buah inab (anggur). Maka tiada ada bandingan seperti demikian mata itu. Dan tubuhnya sangat tambun, tingginya lapan puluh hasta. Lebarnya di antara dua belikat itu tiga puluh hasta. Panjang dahinya dua hasta, dan ada baginya tanduk patah pada kepalanya. Maka keluar daripadanya beberapa ular, rambut kepalanya itu seperti cawang kayu, tangannya panjang sebelah daripada yang satu. Mencapai ia akan awan dengan tangannya, dan mengambil ia akan ikan di pantai laut serta dibakarnya kepada matahari. Dan berjalan ia di dalam laut sekadar tumitnya. Keluar ia daripada negeri Khurasan dan berteriak ia tiga kali. Mendengar akan dia oleh ahli Masyrik dan ahli Maghrib. Dan dilipat akan bumi baginya yakni disingkatkan bumi itu baginya hingga beberapa jauh sekalipun dapat ia berjalan dengan satu saat. Dan ada baginya seekor himar (keldai) yang terpotong ekornya. Putih warnanya dan antara dua telinga himar itu empat puluh hasta. Dan kata Qil tujuh puluh hasta dan dapat bernaung di bawah salah satu daripada dua telinganya tujuh puluh orang. Dan satu langkahnya itu perjalanan tiga hari. Maka ditaruh di atas belakangnya itu mimbar daripada tembaga. Maka duduk Dajal di atasnya, mengikut akan dia beberapa jemaah daripada jin dan manusia yang mempunyai permainan yang sia-sia (muzik dan seumpamanya) sekalian mereka itu; dan dipukul akan gendang di hadapannya dan gambus.

No comments:

Post a Comment